Sekitar Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran Kali Ke-24 dengan penyertaan seramai 150 peserta yang terdiri daripada universiti, jabatan kerajaan dan pemain-pemain industri telah berlangsung di Hotel Weil, Ipoh.
Dalam pada itu, Menteri Besar Incorporated (Perak) turut dijemput sebagai salah satu pembentang kertas ucap tama yang telah diwakili oleh Pegawai Perlindungan Sinaran MB Inc., Encik Ts. Muhammad Amirul bin Md Noor untuk berkongsi dan menerangkan maklumat berkenaan keselamatan sinaran serta pemantauan radiologi yang efisien dalam menguruskan Tapak Repositori, Mukim Belanja, yang dikawal selia oleh MB Inc.
Persidangan tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia yang mewakili kumpulan profesional serta berkemahiran dalam aspek perlindungan dan keselamatan sinaran.
Antara fokus utama penganjuran tersebut adalah untuk menyampaikan maklumat terkini berkenaan pembangunan aplikasi teknologi nuklear dalam pelbagai bidang, pada masa sama ianya merupakan salah satu platform untuk mengukuhkan jalinan hubungan kerjasama dan profesional antara peserta yang hadir untuk berinteraksi dan berkongsi fikiran.
Turut hadir merasmikan persidangan pada kali ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Program Pembangunan dan Penyelidikan Teknologi), YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan.
Turut hadir, Pengurus Kanan Amanjaya Global Sdn. Bhd. yang juga merupakan Orang Bertanggungjawab Terhadap Lesen (OBTL) MB Inc., Encik Ts. Haji Zul Helmi; serta barisan wakil kerja MB Inc.
Pihak MB Inc. merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas penganjuran persidangan dan bengkel pada kali ini dan semoga persidangan ini dapat kekal menjadi landasan terbaik dalam memacu dan mempertingkatkan prestasi serta hala tuju perlindungan sinaran di Malaysia.