Sekitar sesi taklimat kepada pelajar kemasukan baharu yang terpilih menerima tajaan biasiswa Menteri Besar Incorporated (Perak) di bawah Program Perak Corporate Leadership Apprentice Scheme (CLAS) MB Inc.
Biasiswa program CLAS tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) MB Inc. yang bermatlamat untuk membentuk bakal pemimpin-pemimpin korporat dalam pelbagai kerjaya profesional khususnya kepada anak Perak dan pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Tempatan.
Antara fokus utama sesi taklimat tersebut adalah penerangan berkaitan visi program CLAS serta pelan program pembangunan kerjaya yang merangkumi kursus bahasa inggeris aras tinggi, kursus kepimpinan, kursus kemahiran dalam pembentangan, dan sebagainya yang turut disediakan kepada pelajar-pelajar biasiswa tersebut.
Pada masa sama, biasiswa program CLAS MB Inc. turut menyediakan latihan industri kepada para pelajar tersebut yang membolehkan mereka untuk menerokai dunia kerjaya sebenar di setiap anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), sekali gus dapat memberi nilai tambah dan persediaan penuh untuk mereka di masa hadapan.
Seusai sesi taklimat, mereka turut berkesempatan melawat Kapal Korek Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5 (TT5) yang merupakan tapak bekas lombong bijih timah yang dipulihara oleh MB Inc. serta ke taman pagar sesat berbentuk hati pertama di Malaysia, TT5 Maze Park.
Tahniah diucapkan kepada Saudari Nur Nadia Najwa Mat Nazer (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sumber Mineral, USM) dan Saudari Norul Aein Hamdan (Ijazah Sarjana Muda Sains Sekitaran, UKM) di atas penerimaan biasiswa program CLAS MB Inc.
Semoga dengan peluang yang telah diberikan ini setiap pelajar di bawah biasiswa program CLAS MB Inc. dapat mencorakkan pendidikan tinggi negara agar terus relevan dan berkeupayaan memberikan modal insan berkualiti dalam sektor korporat kepada negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya.