YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Industrial Halal Perak @ Lekir di Daerah Manjung.
Projek Perak HiP @ Lekir ini merupakan langkah berani kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dalam memacu perkembangan industri halal yang semakin penting di peringkat Antarabangsa.
Dalam pada itu, projek ini akan menjadi penanda aras baharu bagi memacu negeri menjadi Lembah Bakul Makanan Malaysia seperti digariskan sebagai antara 18 flagship pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang bukan sahaja akan memberikan peluang ekonomi yang luas kepada kesejahteraan rakyat, malah ia juga akan mempertingkatkan imej negeri Perak sebagai taman industri halal terkemuka di Malaysia.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun; Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua Polis Negeri Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin; Barisan Ketua Jabatan/ Agensi Negeri; serta Barisan Pegawai Daerah dan YDP Pihak Berkuasa Tempatan.
Pihak MB Inc. ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan menyokong sepenuhnya perancangan serta pembangunan yang dilakukan oleh Perak SADC dalam memperluaskan jangkauan produk halal di negeri Perak ke pasaran Antarabangsa.