Susulan daripada kejayaan 9 buah sekolah Eco-schools Perak yang telah diiktiraf Green Flag Award, pihak Foundation for Enviroment Education (FEE) telah bersetuju untuk mengadakan lawatan ke sebuah sekolah yang turut menerima pengiktirafan Green Flag dan telah terpilih untuk dijadikan sekolah model untuk Eco-Schools Malaysia, SJKC Siputeh.
Ketua Pegawai Eksekutif Foundation for Enviroment Education (FEE), Mr. Daniel Schaffer telah bersama-sama dengan Ketua Pegawai Operasi, Encik Nor Afzanizam Abd Manan; Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid (Sektor Pembangunan Murid), Tuan Haji Fakhrul Nizam bin Pakhruddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif GGAF, Dr. Balamurugan Ratha Krishnan ke sekolah tersebut.
Dalam kunjungan ke SJKC Siputeh, kesemua yang hadir telah diberikan penerangan ringkas mengenai projek eko-enzim yang menggunakan semula kulit daripada buahan dan sayuran sebagai baja semulajadi atau penolak serangga semulajadi, menjadikan tumbuhan-tumbuhan di sekitar sekolah tersebut lebih lestari.
SJKC Siputeh telah mencapai status Green Flag Award berdasarkan penglibatan dan komitmen menyeluruh daripada guru, murid dan ibu bapa sekolah tersebut dan menjadikan sekolah itu berkonsepkan sekolah dalam perpustakaan. Ini juga termasuk dalam rangka SDG ke 4 iaitu Quality Education (Pembelajaran berkualiti).
Pada masa sama, Presiden FEE turut mengadakan kunjungan hormat ke atas MB Inc. dan ini juga adalah platform terbaik bagi kolaborasi ketiga-tiga penggerak program Eco-Schools ini untuk bertukar pandangan dan idea bagi mempertingkatkan lagi usaha untuk memperkasakan program Eco-Schools di Perak khususnya.
Semoga jalinan kerjasama atas semangat kelestarian alam sekitar ini akan terus terjalin serta lebih banyak lagi sekolah-sekolah akan terlibat dalam program kelestarian ini di masa depan.