Menteri Besar Incorporated (Perak) turut bersama-sama memberi sokongan penuh dalam menjayakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang telah berlangsung hari ini.
MB Inc. telah bersama-sama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerusi Jawatankuasa Mapping Jalur Gemilang, Keceriaan, Kebersihan dan Fasiliti Awam telah membantu menjayakan majlis ini.
Antara program yang telah diadakan adalah Forum Perdana Ehwal Islam - Legasi Merdeka, 6600 Langkah Perpaduan serta Perasmian Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir ialah YB Menteri Komunikasi dan Digital, Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil; YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Barisan Ketua Jabatan/ Agensi peringkat Persekutuan dan Negeri.
Dalam majlis ini juga, pihak MB Inc. turut menyediakan Mobile Mussola MB Inc. atau Surau Bergerak bagi menyediakan kemudahan ruang solat kepada seluruh umat Islam beribadah.
Di sepanjang program ini berlangsung, Mobile Mussola MB Inc. telah ditempatkan di perkarangan Bulatan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh, untuk memberi kemudahan kepada masyarakat yang hadir dalam memeriahkan lagi program tersebut.
Semoga inisiatif daripada pihak MB Inc. ini sedikit sebanyak dapat membantu dan memudahkan umat Islam dalam beribadah sepanjang majlis ini berlangsung.
Selain itu, terdapat juga pelbagai acara yang telah diadakan bagi seluruh masyarakat yang hadir, seperti Pameran dan Perkhidmatan Agensi Kerajaan, Kuiz Kenegaraan, Persembahan Nyanyian dan Kebudayaan, Pertandingan Bintang Patriotik, Jualan Rahmah, Food Truck dan lain-lain.
Tidak ketinggalan, MB Inc. juga bersama Yayasan Bina Upaya (YBU) & SADC Perak turut berkerjasama dalam inisiatif kedai bergerak yang menyediakan jualan barangan asas pada harga rahmah.
Pihak MB Inc. ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis tersebut. Semoga kita semua dapat kekal menjalin perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama dengan suasana penuh aman dan harmoni.