Sesi lawatan teknikal dan latihan audit serta pemeriksaan pematuhan keperluan perlesenan daripada Nuclear and Radiological Regulatory Commission (NRRC) Arab Saudi ke Tapak Repositori, Mukim Belanja, Perak.
NRRC merupakan sebuah badan penguatkuasa yang mengawal selia tenaga atom di Arab Saudi. Turut serta menghadiri lawatan tersebut ialah delegasi daripada Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia).
Kesemua delegasi disambut oleh Tuan Haji Zul Helmi Ghazali, Pengurus Kanan Amanjaya Global Sdn.Bhd.
Agenda utama lawatan tersebut adalah untuk mengadakan pemeriksaan pematuhan keperluan perlesenan serta sesi latihan audit sempena pelaksanaan Program Fellowship daripada NRRC.
Sebagai pemegang lesen rujukan, Amanjaya Global anak syarikat milik penuh MB Inc. Perak telah dipilih oleh Atom Malaysia untuk bekerjasama menunjukkan kaedah pengoperasian dan berurusan dengan sumber sinaran dalam aspek keselamatan (safety), sekuriti dan perlindungan fizikal (security and physical protection), serta kawalgunaan (safeguards).
MB Inc. dipilih bagi audit pembelajaran aktiviti mineral tersebut atas pencapaian prestasi yang tinggi selama 5 tahun dalam audit pemeriksaan sekali gus telah menerima pengiktirafan bagi Anugerah Komitmen Cemerlang Pematuhan pada tahun 2022.
Penganugerahan tersebut diberikan kerana pihak Amanjaya Global telah menguruskan keselamatan sinaran yang cemerlang dengan melaksanakan program pemantauan radiologi yang efisien serta pematuhan keperluan perundangan dalam menguruskan Tapak Repositori tersebut.
Semoga lawatan ini terus menjadikan Amanjaya Global sebagai organisasi yang menjadi penanda aras terbaik dalam pengoperasian tenaga atom kepada semua pihak yang berkaitan khususnya NRRC.