Sesi taklimat berkenaan hala tuju projek perlombongan Lantanida atau Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) oleh Menteri Besar Incorporated (Perak) bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak telah diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Taklimat itu telah dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, YB Encik Loh Sze Yee.
Perbincangan itu adalah terarah untuk meneliti isu berkepentingan semasa berkenaan projek perintis perlombongan Lantanida serta perkongsian hala tuju dalam pembangunan industri nadir bumi di Malaysia.
Turut bersama dalam taklimat itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Encik Haji Yahanis Yahya; dan pihak Penggerak Projek.
Kerajaan negeri bersama agensi-agensi negeri yang terlibat senada untuk terus mengukuhkan ekonomi negeri dan seterusnya dapat berdaya saing dalam persekitaran ekonomi masa kini, sekali gus memberi impak menyeluruh terhadap kesejahteraan rakyat khususnya negeri Perak.