Dalam memperkukuhkan usahasama strategik dalam industri mineral di peringkat antarabangsa, Menteri Besar Incorporated (Perak) mengorak langkah dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negara China nadir bumi terbesar di China, China Rare Earth Group Co. Ltd, hari ini.
Perbincangan dua hala itu disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin bersama Presiden China Rare Earth Group Ltd., Mr. Ao Hong dan barisan pengurusan kanan syarikat tersebut.
Pertemuan itu juga turut melibatkan perbincangan lanjut melibatkan kerjasama dalam pembangunan industri nadir bumi di Malaysia.
Antara intipati perbincangan lain ialah cadangan untuk mewujudkan tapak pemprosesan nadir bumi di Malaysia selain potensi industri hiliran nadir bumi, serta perkongsian dan perjanjian dalam teknologi pengasingan elemen nadir bumi.
Dalam pada itu juga, MB Inc. Perak turut mengeksport NR-REE yang pertama di Malaysia dan negeri Perak khususnya.
Tambahan, dasar dan polisi yang diselaraskan Negara China berkenaan industri perlombongan kini lebih dinamik dimana kesan kepada alam sekitar dan pembangunan mineral yang mampan akan lebih dititikberatkan sepenuhnya.
Ini secara langsung, mendukung usaha untuk membangunkan industri mineral secara holistik selari dengan agenda perlombongan bertanggungjawab dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.