Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia.
Turut berangkat DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.
Hadir sama YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, barisan ex-officio Kerajaan Negeri Perak, barisan Exco Kerajaan Negeri Perak serta Ketua-ketua jabatan dan agensi diperingkat Persekutuan dan Negeri.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan setiap tahun itu dimeriahkan dengan kehadiran 20,000 rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri.
Lebih menarik lagi, gerai-gerai pelbagai juadah raya disediakan oleh 10 agensi termasuk Menteri Besar Incorporated (Perak), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak ( PPPNP) yang menyediakan pelbagai juadah antaranya kambing golek, sate ayam, ayam golek.
Tidak ketinggalan, MB Inc. yang turut terlibat dalam majlis tersebut turut berkongsi kemeriahan dengan membuka gerai air minuman.
Semoga kerukunan dan keharmonian masyarakat madani yang telah terjalin sekian lama ini terus menjadi kekuatan kepada negara kita dan khususnya negeri Perak yang tercinta.