Menteri Besar Incorporated Perak (MB Inc.) melalui anak syarikatnya Amanjaya TT5 Sdn. Bhd. telah menerima sebuah pengiktirafan anugerah kejuruteraan mekanikal antarabangsa, Engineering Heritage Award daripada Institution of Mechanical Engineers (IMechE), United Kingdom menerusi warisan ikonik perlombongan bijih timah, Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5).
IMechE telah memilih dan mengiktiraf Kapal Korek TT5 yang berusia 85 tahun sebagai penerima IMECHE Engineering Heritage Award kerana telah menepati kriteria penganugerahan ini iaitu terpelihara dengan baik, telah memberi sumbangan kepada ekonomi negeri dan negara dan mempunyai ciri warisan yang tersendiri.
IMechE merupakan sebuah badan institusi antarabangsa yang dianggotai 115,000 jurutera dari seluruh dunia dan Ibu Pejabat terletak di United Kingdom.
MB Inc. merupakan penerima pertama anugerah ini di Malaysia dan di Asia Tenggara.
Pihak IMechE yang diwakili oleh Presiden ImechE, Mr. Eur Ing Phil Peel, dari United Kingdom turut hadir untuk menyerahkan penganugerahan tersebut kepada YB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.
Sementara itu, YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang diwakili Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Kerajaan Negeri berasa berbesar hati dengan penganugerahan daripada sebuah organisasi antarabangsa yang mengiktiraf monumen kejuruteraan mekanikal ini.
“Berdirinya sebuah ‘marvel engineering’ di Tanjung Tualang ini adalah tanda kebanggaan negeri Perak dengan pengeluaran biji timah yang menjadi teras ekonomi Tanah Melayu ketika dahulu.
“Dalam memastikan warisan ini terpelihara, MB Inc. telah diberikan mandat oleh Kerajaan Negeri untuk memulihara kapal korek ini bagi memastikan warisan berharga ini terus diingati dan diketengahkan, “katanya selepas Majlis Penyerahan Plak IMECHE Engineering Heritage Award di TT5 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi, Encik Nor Afzanizam Abd Manan berkata, penganugerahan IMECHE Engineering Heritage Award ini mengiktiraf usaha Kerajaan Negeri dalam memelihara dan memulihara warisan Kapal Korek di mana satu-satunya masih lagi kekal di negeri Perak.
“Kami berasa bertanggungjawab dan terus komited untuk memulihara Kapal Korek dan menghijaukan kawasan disekitarnya. Bukan itu sahaja, MB Inc. juga turut melaksanakan pembangunan secara berperingkat di kawasan tersebut.
Katanya lagi, MB Inc. berasa berbangga dengan pengiktirafan antarabangsa ini dan semoga penganugerahan ini menjadi pemangkin kepada GLC lain untuk bersama-sama memulihara khazanah negeri yang tidak ternilai ini.
Sementara itu, Pengerusi IMechE Asia Tenggara, Ir. Dr. Chua Yaw Long berkata, IMECHE Engineering Heritage Award kepada TT5 adalah anugerah yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara.
”Saya berasa gembira kerana anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf warisan bersejarah ini tetapi juga usaha Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan Kapal Korek menjadi ikon sejarah selain mempromosikan pencapaian serta kejayaan kejuruteraan yang lepas,”katanya.
Selain itu, MB Inc. turut giat mempromosikan Kapal Korek TT5 ke peringkat antarabangsa secara berterusan sehingga telah menarik perhatian IMechE UK untuk memberi pengiktirafan ini.
Dalam pada itu, MB Inc., juga turut mempromosikan Kapal Korek TT5 dan beberapa produk eco- tourism di sekitar TT5 iaitu Maze Park di International Tourism Berlin 2023 (ITB 2023), pameran dagang pelancongan terbesar dunia dan di Expo Dubai 2020.