Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengadakan kunjung hormat bersama salah satu GLC di bawah Kementerian Ekonomi, Pelaburan & Industri di Jepun iaitu Japan Oil, Gas & Metal Corporation (JOGMEC).
Dalam kunjungan tersebut, MB Inc. yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Anuar Zainal Abidin telah disambut oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Logam, Mr. Miyatake Shuichi bersama sembilan lagi wakil pengurusan tertinggi daripada sektor Pembangunan Logam, Penerokaan Logam dan Jabatan Strategi.
Untuk makluman, JOGMEC dipertanggungjawab untuk memastikan bekalan sumber logam yang stabil bagi industri di Jepun.
JOGMEC juga turut memberi sokongan kepada syarikat swasta terutamanya dalam eksplorasi dan pembangunan sumber logam di Jepun dengan menyediakan modal ekuiti dan jaminan liabiliti.
Selain itu, JOGMEC aktif menjalankan pembangunan teknologi dalam menyediakan bantuan teknikal bagi setiap fasa bagi pembangunan sumber logam di samping aspek penjagaan alam sekitar.
Dalam masa yang sama, MB Inc. turut berpeluang berkongsi maklumat berkenaan potensi mineral terutamanya NR-REE di negeri Perak di samping meneroka peluang kerjasama dengan JOGMEC bagi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Semoga pendekatan Kerajaan kepada Kerajaan (G2G) antara agensi di negeri Perak dan Jepun ini diharapkan akan mengukuhkan lagi peluang kerjasama yang rapat dalam sektor pembangunan mineral.