Menteri Besar Incorporated (Perak) bersama-sama dengan rakan- rakan strategik MB Inc., Klay Minerals Sdn.Bhd dan Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. turut bersama-sama komited untuk memakmurkan sektor pendidikan dan pembangunan modal insan dengan menyumbang sebanyak RM 700,000 bagi program di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).
Dalam majlis itu juga, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin turut menyerahkan mock-cheque kepada YAB Menteri Besar sebagai simbolik penyerahan sumbangan tersebut.
Insiatif Bantuan Makanan Pelajar di bawah program TCS ini adalah cetusan idea daripada YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang akan memberi manfaat kepada 28,281 pelajar dari 256 buah sekolah seluruh negeri Perak.
Melalui inisiatif ini, kesemua calon peperiksaan SPM, STPM, STAM & SVM akan diberikan bantuan makan tengah hari selama 20 hari iaitu ketika menghadiri kelas tambahan atau kelas intensif sehinggalah sepanjang hari peperiksaan pada tahun ini.
Usaha murni ini juga secara langsung mendorong para pelajar untuk hadir ke kelas tambahan dan mendapat akses bantuan makanan khususnya daripada keluarga B40.
Ini sekaligus meningkatkan peratusan cemerlang pelajar-pelajar di dalam peperiksaan tersebut di negeri Perak.
MB Inc. juga berharap inisiatif seumpama ini akan terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.