Menteri Besar Incorporated (Perak) telah meraikan 88 pengamal media yang terdiri daripada hampir 25 agensi di negeri ini pada Majlis Malam Media Perak bersama YAB Menteri Besar Perak Tahun 2023 di Laman Seri Ridzuan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad yang hadir bersama isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubir.
Objektif utama majlis makan malam ini adalah bagi meraikan media yang selama ini telah memberikan kerjasama dan bertungkus lumus untuk membuat liputan program-program di dalam dan luar Negeri Perak.
Dalam pada itu, majlis dimeriahkan dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah, penyampaian hadiah fotografi Merdeka dan fotografi wajah MB dan nyanyian daripada rakan-rakan media.
Tidak ketinggalan YAB Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada pengamal media dan sumbangan dana perubatan kepada anak kepada jurugambar Utusan Malaysia, Adik Aina Afieyah Muhammad Nazreen Shah, yang menghidap penyakit kulit rapuh.
Dalam pada itu, sebagai tanda menghargai pengamal media, pihak MB Inc. turut menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Pengamal Media Perak yang bertujuan untuk membantu dalam aktiviti kebajikan dan juga bagi menghargai peranan setiap pengamal media dalam menjalankan tugas.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, dan NGO, YB Encik Mohd Azlan Helmi; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Puan Sandrea Ng Shy Ching; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin; serta Barisan Ketua Jabatan Agensi Kerajaan Negeri.
Pihak MB Inc. ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Kami berharap agar seluruh pengamal media khususnya di Negeri Perak dapat terus memainkan peranan penting sebagai penyalur utama maklumat kepada masyarakat secara komprehensif dan menyeluruh.