Menteri Besar Incorporated (Perak) turut menghadiri Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baharu 2023 yang disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Dalam ucaptama YAB Menteri Besar telah menyentuh lima fokus yang menjadi agenda penting Kerajaan Negeri pada tahun ini.
Lima agenda tersebut ialah meningkatkan hasil & daya saing ekonomi Negeri, memantapkan sinergi dalam sistem penyampaian, mengupaya sara diri dan kapasiti rakyat, keterangkuman inisiatif digital dan teknologi dan memulihara kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu juga, YAB Dato’ Seri Saarani turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada jabatan, agensi, PBT dan GLC negeri yang menerima anugerah atau pengiktirafan sepanjang tahun 2022.
‘’Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) juga mengharumkan nama negeri dengan menerima beberapa anugerah termasuk:
Anugerah Komitmen Cemerlang Pematuhan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 menerusi anak syarikat, Amanjaya Global Sdn. Bhd. sekaligus mengetepikan 1,300 pesaing.
The Golden Bull Award 2022 - Outstanding SME melalui Pengurusan Pasir Perak Sdn. Bhd. (3P) anjuran Business Media International dan SAMENTA (Small and Medium Enterprise Association).
Pengurus Besar Komunikasi Strategik Korporat MB Inc., Cik Siti Kamesah Bee Hashim dianugerahkan Movers and Shakers Award di Majlis The Asia HRD Awards 2022 “, katanya.
Dalam pada itu, YAB Menteri Besar juga mahu inisiatif Kedai Bergerak Negeri Perak yang dilaksanakan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan dengan usahasama Perak SADC, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) dan Majuperak Holdings Berhad diperluaskan agar lebih ramai lapisan rakyat terutamanya di luar bandar dapat membeli barang makanan dan keperluan dengan harga yang murah dan berpatutan.
Dengan itu, MB Inc. akan terus berusaha untuk memberikan komitmen terbaik dalam bersama-sama meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri Perak.
Hadir sama bagi memeriahkan majlis, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin dan barisan pengurusan kanan MB Inc.