Warga kerja Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menyertai satu latihan profesional pemanduan kenderaan pacuan 4 roda (4X4) yang bertempat di M4TREC Training & Experience Centre, Semenyih, pada 12 November 2022 lalu.
Latihan yang dianjurkan oleh Professional 4WD Off-Road Driving ini, telah diketuai oleh wakil kerja MB Inc., Encik Zazali bin Jamaluddin daripada Jabatan Sumber Manusia; serta barisan wakil kerja MB Inc. daripada Bahagian Pengurusan Pengangkutan seramai 12 orang ahli.
Tujuan latihan tersebut adalah bagi membantu mereka membuat keputusan yang selamat dalam mengendali kenderaan 4X4, sekaligus meningkatkan pengetahuan, kemahiran, dan teknik pemanduan profesional.
Dalam pada itu, latihan tersebut telah dibahagikan kepada beberapa sesi mengikut modul yang telah disediakan oleh pihak tenaga pengajar. Modul-modul tersebut mengandungi perkongsian pengetahuan mengenai persediaan kenderaan dan teknik pemanduan 4X4.
Selepas itu, peserta-peserta telah diberi peluang untuk mempraktikkan sendiri teknik pemanduan meredah laluan hutan serta mendaki bukit dan menuruni cerun.
Pihak pengurusan MB Inc. ingin mengucapkan syabas kepada barisan wakil kerja MB Inc. yang telah menjalani latihan pemanduan 4X4 dengan jayanya.
Latihan ini juga dapat meningkatkan kemahiran di kalangan warga kerja MB Inc. serta memperkukuhkan semangat kerja berpasukan yang tinggi.
Setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Professional 4WD Off-Road Driving yang telah menyumbang tenaga dalam latihan ini.
Semoga dengan penglibatan semua pihak ini dapat meningkatkan teknik pemanduan selamat, selain itu dapat memperkasakan semangat kerjasama pasukan dan nilai dedikasi sebagai satu unit pengangkutan yang lebih mantap
.