Menteri Besar Incorporated (Perak) telah berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yaakub dalam Program Kempen ESG Taiwan Excellence Bersama Eco-Schools Malaysia, hari ini.
Program pada hari ini bertujuan untuk merealisasikan Agenda ESG (Persekitaran Alam, Kemasyarakatan, dan Tadbir Urus) dengan menyokong sekolah dan masyarakat ke atas pemeliharaan alam sekitar, sekaligus memberikan perspektif baru kepada aliran pendidikan alam sekitar.
Kehadiran tetamu-tetamu telah disambut meriah oleh Pengetua SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub, Encik Sabarudin Othman, serta pelajar-pelajar daripada sekolah tersebut.
Antara inti pati program ini, persembahan montaj oleh SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub, persembahan-persembahan oleh para pelajar sekolah, pembentangan mengenai perkembangan dasar ESG di kalangan pelajar SMK Dary yang merupakan Junior Health Ambassador (JHep) oleh Adik Damia Irdina Khairul Nizam, lawatan ke laman-laman Projek Eco-Schools, dan diakhiri dengan aktiviti penanaman pokok oleh Dayang Nurfaizah, Duta ESG Taiwan Excellence serta tetamu kehormat.
MB Inc. juga turut berbesar hati menjadi GLC di Perak yang terlibat dalam Eco-schools Malaysia dan akan terus menyokong program kelestarian di sekolah-sekolah khususnya di negeri ini. Malah dengan inisiatif MB Inc., Eco-Schools Perak telah pun dilaksanakan di 50 buah sekolah di negeri Perak.
Turut hadir , Pengurus Taiwan Trade Center, Cik Catherine Wu; Penasihat Eco-Schools Perak; Tuan Aznan bin Haji Alias; Duta ESG Taiwan Excellence, Cik Dayang Nurfaizah; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Encik Zulkafli bin Mohamed Mokhtar; Ketua Pegawai Operasi MB Inc. Perak, Encik Nor Afzanizam Abd Manan; Barisan Wakil Jabatan Pendidikan Negeri Perak; serta Barisan Wakil Green Growth Asia Foundation.
Dalam pada itu, MB Inc. ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Taiwan Excellence dan pihak Green Growth Asia Foundation (GGAF) atas kerja keras untuk menghasilkan program kempen seperti ini. Turut tidak terkecuali, komitmen penuh oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan pelajar-pelajar SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub yang juga merupakan salah satu sekolah yang terawal lulus pengauditan dan menerima pengiktirafan Green Flag untuk program Eco-Schools Perak.