Menteri Besar Incorporated ( Perak) telah mengadakan perbincangan dengan universiti-universiti tempatan dalam usaha membentuk Pusat Kecemerlangan Mineral (Centre of Excellence for Mineral Research) di Negeri Perak.
Sesi perbincangan ini telah diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi MB Inc. , Encik Nor Afzanizam Abd Manan dan disertai oleh Dr Maisarah Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR) selaku penyelaras.
Turut hadir, barisan Saintis dan Pakar-pakar Penyelidik Mineral daripada universiti-universiti tempatan; barisan pengurusan MB Inc. dan IDR.
Antara universiti tempatan yang terlibat dalam perbincangan ini terdiri daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta wakil dari pihak Agensi Nuklear Malaysia.
Antara inti pati perbincangan ini adalah manfaat-manfaat mineral termasuk kemajuan projek NRREE (Non-radioactive Rare Earth Element) dan rujukan kepada industri perlombongan bertanggungjawab, selari dengan pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030. Perbincangan industri mineral ini diharap dapat memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ekonomi Negeri Perak dan juga Negara.
MB Inc. berasa bertuah kerana dapat menjalinkan kerjasama baik dengan pakar-pakar daripada pelbagai institusi. Perbincangan ini secara langsung dapat membuahkan hasil dapatan holistik yang akan membawa kepada impak positif dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi global. Justeru, Negeri Perak juga komited mengimbangi antara penjanaan pendapatan dan model serta amalan terbaik dalam aktiviti perlombongan mineral.