Menteri Besar Incorporated (Perak) (MB Inc.) meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-65 dengan kehadiran kanak-kanak tabika KEMAS di Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5).
Lebih menarik lagi, dua daripada tiga buah Tabika KEMAS tersebut, Tabika KEMAS JAKOA Kg. Ayer Denak dan Tabika KEMAS JAKOA Kg. Tangkai Cermin merupakan tabika yang terdiri daripada kanak- kanak Orang Asli selain Tabika KEMAS NKRA Taman Cahaya Chenderong.
Kanak-kanak ini begitu teruja dan bersemangat menyambut Hari Kemerdekaan termasuk kanak-kanak Orang Asli di sekitar Batu Gajah.
Selain menyemarakkan semangat cintakan Malaysia dengan aktiviti-aktiviti nilai murni dan kenegaraan kepada generasi muda ini, program ini juga sebagai pengenalan awal kepada pengetahuan mineral di negeri Perak termasuk kapal korek bijih timah yang menjadi lokasi bersejarah menghimpunkan pelbagai kaum di negeri ini ketika zaman kegemilangannya.
Selain berpeluang mengunjungi Kapal Korek dan TT5 Maze Park, kanak-kanak tabika ini juga turut menyertai pertandingan mewarna selain perarakan di sekitar Kapal Korek TT5. MB Inc. turut berkongsi rezeki dengan menyediakan kotak makanan Marrybrown manakala kanak-kanak yang memenangi pertandingan mewarna diberikan hadiah hamper dan cenderahati TT5 sebagai tanda kenang-kenangan.
Program sambutan kemerdekaan ini juga adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memfokuskan kepada Pendidikan dan juga Sosial kepada penduduk sekitar Batu Gajah.
Selain itu, MB Inc. terdahulu telah menganjurkan Program Rumah Ngaji @ TT5 kepada komuniti tempatan dalam usaha pemantapan kekuatan rohani selain mewujudkan masyarakat baca, faham dan amal Al-Quran.
Turut hadir dalam program ini ialah Pengurus Besar Komunikasi Strategik Korporat, Cik Siti Kamesah Bee; Pengurus Amanjaya TT5 Sdn. Bhd, Encik Shaharin Zainon, Barisan Guru Tabika KEMAS, serta Barisan Warga Kerja MB Inc.