DYMM Paduka Seri Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022 Peringkat Negeri Perak di hadapan Dataran Bandaran Ipoh.
Turut berangkat DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Ketibaan baginda disambut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Binti Zubin, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim serta barisan Exco Kerajaan Negeri Perak.
Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan pada tahun ini melibatkan seramai 6,200 orang peserta yang terdiri daripada 73 kontinjen kawad dan 22 kontinjen kenderaan yang disertai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Antara kontinjen yang menyertai perbarisan berkenaan ialah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.
Hadirin turut disajikan dengan persembahan muzikal yang bertajuk Merentas Gempita Bersama Keluarga Malaysia.
Majlis Sambutan Hari Kebangsaan disambut meriah dengan kehadiran 20,000 pengunjung meliputi segenap masyarakat di negeri ini tanpa mengira kaum dan agama. Keluarga Malaysia, Teguh Bersama.
Teruslah Semarakan Merdeka, Malaysia Tanahair Tercinta
Salam Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia, Tanah Tumpah Darahku daripada Pengurusan dan Seluruh Warga Kerja MB Inc.