Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Yang Teramat Mulia Raja Kecil Besar Perak, Raja Dato’ Seri Azlan Muzzaffar Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat tapak Urban Farming, hasil kerjasama MB Inc. Perak dan Perak Corporation Berhad, diiringi YDH. Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja, Dato’ Ab. Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan.
Urban Farming yang menggunakan teknik hidroponik ini merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diusahakan oleh Perak Corp. melalui Hotel Casuarina @Meru dengan kerjasama MB Inc. yang dilaksanakan sejak tahun lalu dalam usaha penghasilan makanan sihat menerusi hasil tani sekaligus menyumbang kepada sumber makanan di negeri ini.
Dalam pada itu, usahasama ini juga menghasilkan sayur-sayuran yang digunapakai di restoran di Hotel Casuarina@ Meru yang menggunakan konsep farm-to-table dan hasil tuaian juga disedekahkan kepada Rumah Anak-anak Yatim dan Maahad Tahfiz serta mereka yang memerlukan.
Turut sama hadir mengunjungi tapak urban farming ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YB Dato’ Ahmad Suadi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg Tan Sri Mohd. Annuar Zaini bersama-sama Pengarah Pertanian Negeri Perak, Ts. Norsiyenti Binti Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Tuan Anuar Zainal Abidin ke tapak Urban Farming di Aras 2, Hotel Casuarina@ Meru selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Perak.
Selain itu, DYMM Sultan Perak dalam titahnya semasa Majlis Sambutan Maal Hijrah turut mengingatkan Malaysia berada diambang bahaya keselamatan bekalan makanan. Usaha-usaha perlu dilakukan secara bersungguh dan berfokus untuk mengurangkan import. Langkah-langkah strategik perlu diperkenalkan untuk mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan, dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil.
Titah baginda lagi, semoga lebih banyak badan berkanun, GLC dan pihak swasta, tampil ke hadapan menghulurkan sumbangan dan bantuan untuk membiayai projek-projek menghasilkan makanan.
Tahniah dan Syabas kepada rakan strategik , Perak Corp yang melaksanakan inisiatif ini yang memberi manfaat kepada banyak pihak.
Menjunjung Kasih DYMM Tuanku dan DYMM Tuanku Pemaisuri dan seluruh kerabat Diraja berkenan mencemar duli melawat tapak Urban Farming.
Daulat Tuanku.