Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Pemaisuri Perak, Tuanku Zara Salim hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuariana @ Meru.
Turut berkenan berangkat DYMM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, DYMM Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan YDH. Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja , Dato’ Ab. Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak , Dato’ Ahmad Suadi Abdul Rahim, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YAB Tan Sri Mohd. Annuar Zaini, barisan pengurusan tertinggi Kerajaan dan Ketua-Ketua Jabatan.
DYMM Sultan Perak dalam titahnya turut menekankan langkah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Jabatan Agama Islam Perak menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk meningkatkan penghasilan bahan makanan merupakan perintisan usaha baharu di luar daripada norma budaya kerja biasa, satu langkah penghijrahan yang strategik.Gandingan tenaga MAIPK dan JAIPK, bersama Jabatan Pertanian, wajib diberikan sokongan oleh pelbagai pihak.
Titah DYMM Sultan Perak lagi, sokongan kewangan, memenuhi tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc. ) dan Perbadanan Kemajuan Islam Negeri Perak Sendirian Berhad (PSB), membantu membiayai program menghasilkan makanan yang diusahakan oleh masjid, surau, tahfiz dan sekolah, amatlah bermakna dan sungguh mendorongkan.
Menjunjung Kasih Tuanku.