Kerajaan Negeri Perak menerima kunjungan Lawatan Kerja Rasmi Kedutaan Perancis ke negeri ini yang diketuai oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT), Roland Galharague.
Turut serta bersama, Presiden Kumpulan Persahabatan Antara Parlimen Perancis-Asia Tenggara, Mathieu Darnaud; Senator untuk Deux-Sevres, Philippe Mouiller; Senator untuk Moselle, Catherine Belrhiti; Senator untuk Tarn et Garonne, Francois Bonhomme serta dua pegawai pengiring iaitu Anne Laure Saint Dizier dan Victor Karayan.
Hadir sama antaranya YB Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato’ Shahrul Zaman Datuk Yahya; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah Sipun; YABhg. Dato’ Seri Timor Shah Rafiq dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (Perak), Encik Anuar Zainal Abidin.
Lawatan kerja ini adalah kesinambungan daripada lawatan kerja Duta-Duta Eropah ke Negeri Perak Darul Ridzuan pada 2 Mac lalu.
Satu sesi pembentangan berkaitan perdagangan dan pelaburan, pelancongan khususnya Taman Negeri kepada pihak Kedutaan Perancis oleh jabatan dan agensi Kerajaan Negeri turut diadakan di Hotel Weil.
Turut dibincangkan ialah pembangunan mineral melibatkan penglibatan syarikat-syarikat mineral berpengalaman dari Eropah dan pada masa sama, turut meneroka potensi teknologi terkini dan kaedah-kaedah pelombongan mampan bagi pembangunan mineral.
Semoga kunjungan ini menjadi salah satu platform jaringan hubungan pada masa sama mampu menarik pelabur untuk meneroka potensi-potensi pelaburan di negeri ini.