Menteri Besar Incorporated (Perak) turut serta dalam program gotong-royong memasak bubur lambuk bersama Agensi Kerajaan, NGO, dan Adabi bersempena Ramadan di Rumah Seri Kenangan, Seri Iskandar.
Program dimulakan dengan memasak bubur lambuk secara bergotong-royong dan diagihkan kepada warga emas, penduduk setempat, seterusnya menjadi sebahagian juadah berbuka puasa.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Kebajikan Masyarakat, YB Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi, dan Multimedia, YB Encik Khairul Shahril Mohamed, serta barisan Pengarah dan Ketua Jabatan Negeri Perak.
Program memasak bubur lambuk ini bukan sahaja dapat memupuk semangat saling membantu, malah turut berkongsi rezeki di bulan Ramadan ini.
Diharap program ini dapat diteruskan di masa akan datang dan MB Inc. mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur dan juga komuniti setempat yang telah bersama-sama menjayakan Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk ini dengan jayanya.