Dalam menyanjung budi dan menghargai sumbangan petugas barisan hadapan melawan Covid -19, satu Majlis Makan Malam Amal Anuar Zain telah diadakan di Ipoh International Convention Centre (IICC).
Tidak ketinggalan, Menteri Besar Incorporated (Perak) turut sama menyumbang dalam memberikan semula kepada agensi-agensi sebagai tanda berterima kasih atas pengorbanan yang dilaksanakan demi menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat.
Selain itu, majlis amal itu juga bertujuan membantu penggiat seni tempatan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Konsert amal itu merupakan anjuran bersama Bond Holdings Sdn. Bhd. (Bond Holdings), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Berhad.
Antara penerima sumbangan itu ialah Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan negeri Perak,Hospital Raja Permaisuri Bainun, Angkatan Pertahanan Awam negeri Perak dan penggiat seni yang terjejas diwakili oleh People Of Remarkable Talent (PORT).
Turut berangkat mencemar duli ke Majlis Makan Malam Amal itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir ialah YB Dato ' Mohamad Zahir Abdul Khalid , Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Lebih istimewa, DYTM Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah turut berkenan mencemar duli membuat persembahan istimewa bersama kumpulan muzik bertujuan amal yang amat disanjung oleh semua. Junjung kasih DYTM Tuanku.
Sumbangan petugas hadapan dalam menangani Covid-19 amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia dan sumbangan kecil ini adalah tanda dalam memberi sokongan berterusan kepada wira negara ini.