Kerajaan Negeri Perak menerima kunjungan daripada barisan Duta-Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia (EU) ke negeri ini dalam memperkasakan jalinan perhubungan strategik antaranya peluang pelaburan, pendidikan dan kerjasama dagangan dua hala.
Program lawatan kerja yang berlangsung selama tiga hari itu termasuklah pameran booth oleh jabatan kerajaan, agensi dan pemain industri di Casuarina Convention Centre, Meru, Ipoh yang disertai 20 pempamer termasuklah Menteri Besar Incorporated (Perak) dan beberapa agensi lain antaranya Invest Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Tourism Perak, Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Perbadanan Taman Negeri Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak serta Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Dalam program sama, setiap wakil daripada sektor pelaburan, pelancongan, perhutanan dan alam sekitar di negeri ini telah membuat pembentangan secara khusus kepada Duta-Duta Kesatuan Eropah yang hadir.
Sebagai sebuah agensi pemegang amanah dalam industri perlombongan, hartanah dan pelaburan strategik di negeri Perak, MB Inc. telah mengetengahkan potensi- potensi pelaburan khususnya pembangunan mineral negeri mampan, pengurusan pasir serta tidak ketinggalan, usaha rehabiltasi tapak pelombongan bijih timah sebagai ikon pelancongan kepada delegasi EU.
Dalam sesi ‘walk-through’, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin turut menerangkan secara terperinci berkaitan pembangunan mineral baharu, produk pelancongan kapal korek TT5 dan juga TT5 Maze Park serta pembangunan kelestarian alam sekitar menerusi pendidikan yang dilaksanakan oleh MB Inc. sebagai sebuah agensi negeri yang bertanggungjawab.
Lawatan duta-duta EU ini diketuai oleh TYT Michalis Rokas, Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia turut melibatkan 10 duta negara Eropah iaitu Perancis, Belgium, Spain, Ireland, Finland, Jerman, Romania, Austria, Sweden dan Itali.
Selain itu, kesinambungan program lawatan itu turut diadakan Majlis Makan Malam di Galasa Caldwell @ Ipoh yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Zainol Fadzi Bin Paharudin dan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Tuan Haji Razman Bin Zakaria serta jemputan-jemputan khas.