Menteri Besar Incorporated (Perak) (MB Inc.) turut bersama-sama menyokong inisiatif memperkasakan program kesejahteraan rakyat khususnya sektor pendidikan dengan menyumbang RM700,000 bagi Program Makanan Percuma Pelajar SPM/ SVM / STPM / STAM 2021 Di Bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).
Sumbangan MB Inc. itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin kepada YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad pada Majlis Pelancaran Smart G-Tuisyen dan Program Makanan Percuma SPM/ SVM / STPM / STAM 2021 Di Bawah Inisiatif TCS yang berlangsung di Hotel Casuarina,hari ini.
Sebelum ini, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam ucapan Executive Talk 2022 mengesyorkan supaya GLC memainkan peranan lebih signifikan dengan terlibat secara langsung dalam program-program kesejahteraan rakyat terutamanya sektor yang mengalami pengurangan peruntukan dan antara yang perlu diberi perhatian ialah sektor Pendidikan.
Oleh demikian, MB Inc. berbesar hati dapat menyumbang semula kepada Kerajaan Negeri bagi pembangunan pendidikan generasi muda di negeri ini.
Turut hadir dalam program itu antaranya ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak, Encik Ahmad Saidi Bin Mohamad Daud.
Program yang diilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad ini akan memberi manfaat kepada 33,047 murid di negeri Perak khususnya pelajar dalam kalangan keluarga B40 dan pelajar luar bandar.
Inisiatif TCS ini merangkumi enam inisiatif strategik iaitu tuisyen & kelas tambahan percuma, bahan pengajaran interaktif, bantuan khas makanan, program latih tubi berfokus, kesejahteraan & kesihatan murid serta khidmat sosial & komuniti.
Ini secara langsung dapat menyumbang kepada peratusan kejayaan keputusan peperiksaan kerana jumlah pelajar yang hadir untuk mengikuti kelas tambahan juga akan turut meningkat.
Oleh itu, semoga program ini akan terus melonjakkan prestasi akademik, merapatkan jurang pendidikan dan menjadi pemangkin pembangunan modal insan.