DUBAI 31 Dis. - TT5 Maze Park, tarikan terbaharu eko-pelancongan oleh Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui anak syarikat, Amanjaya TT5 Sdn. Bhd, hari ini dipromosikan di Expo Dubai 2020, salah satu acara yang terbesar didunia yang disertai oleh 192 negara.
TT5 Maze Park terletak bersebelahan monumen ikonik perlombongan biji timah di Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) yang menggabungkan lapan elemen unik dan menyeronokkan membentuk bentuk hati (love shape) dengan menggunakan bahan-bahan sinonim dengan negeri Perak seperti batuan mineral serta barangan kitar semula dan atap rumbia hasil tangan Orang Asli.
Sementara itu, Kapal Korek TT5 dan TT5 Maze Park turut mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Sri Hajah Nancy Shukry ketika mengunjungi tapak pameran produk pelancongan negeri Perak selepas merasmikan Pavilion Malaysia.
Turut mengiringi ialah Duta Besar Malaysia ke UAE, TYT Mohd Tarid Sufian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, TYT Mohd Hasril Abdul Hamid. Turut serta ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh, Dato' Haji Rumaizi bin Baharin, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad , Cik Nurmalis Musa .
Sementara itu, Encik Anuar Zainal Abidin berkata, MB Inc. berasa bertuah kerana berpeluang mempromosikan produk pelancongan negeri Perak, Kapal Korek TT5 dan TT5 Maze Park di peringkat antarabangsa.
Jelasnya lagi, MB Inc. bukan sekadar memulihara kapal korek malah turut berasa bertanggungjawab untuk membangunkan bekas tapak perlombongan bijih timah ini dengan menghijaukan sekitarnya dengan penanaman pokok-pokok selain memperkenalkan tarikan terbaharu, TT5 Maze Park yang direka untuk tujuan pelancongan dan riadah seisi keluarga.
“TT5 Maze Park bukan sekadar Taman Pagar Sesat berbentuk hati malah turut ada petting zoo, café The Can Tin ala 70-an yang mengetengahkan hidangan dim sum dan pau serta Ipoh White Coffee selain menjanjikan pengalaman dan pemandangan menarik disekitarnya,” katanya di sini hari ini.
Anuar berkata, TT5 Maze Park merupakan Taman Pagar Sesat yang terbesar dan berbentuk hati yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang kini mendapat perhatian pelancong di dalam mahupun luar negara.
Untuk maklumat lebih lanjut berkaitan TT5 Maze Park dan Kapal Korek TT5, boleh layari https://tt5perak.com atau Facebook TT5 Perak atau Instagram @tt5perak