Menteri Besar Incorporated (Perak) meneruskan lagi misi bantuan banjir ke Temerloh, Pahang yang diketuai YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, inisiatif Kerajaan Negeri Perak yang dikoordinasi Yayasan Bina Upaya (YBU).
Kesemua 366 sukarelawan termasuk daripada MB Inc. telah berkumpul di Laman Seri Ridzuan dan bergotong-royong dalam mengangkat barangan bantuan ke dalam lori dan pacuan empat roda masing-masing sebelum meneruskan misi bantuan ke negeri Pahang yang disertai oleh kakitangan kerajaan, GLC dan NGO serta para Exco, semalam.
Dalam pada itu, kesemua sukarelawan turut berkumpul dan bermalam di ILMU, Janda Baik sebelum meneruskan misi bantuan ke Temerloh.
Keadaan di sekitar Temerloh dilihat terjejas teruk sehingga mengakibatkan jalan-jalan sukar dilalui sehingga laluan terpaksa ditutup, rumah diselaputi lumpur, barangan rumah dan kenderaan rosak akibat banjir yang melanda baru-baru ini.
Selain menyumbang tenaga membersihkan kediaman penduduk, MB Inc. juga turut menyumbang kelengkapan seperti tilam, bantal, selimut dan sejadah selain kain batik serta kain pelikat kepada penduduk setempat.
Bukan itu sahaja, MB Inc. turut menggerakan Surau Bergerak MB Inc. untuk kegunaan sukarelawan dan juga penduduk setempat dalam menunaikan ibadah ketika misi bantuan dilaksanakan.
Tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan termasuk warga kerja MB Inc. yang berkerjasama dan bergotong-royong menyantuni mangsa banjir dalam meringankan bebanan mereka yang terkesan ketika berdepan saat-saat sukar ini.
Semoga usaha murni dan semangat kesukarelawan dalam kalangan Skuad Prihatin MB Inc. ini terus menyubur dan akan terus membantu mereka yang memerlukan di masa akan datang.