Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 dan TT5 Maze Park.
Tujuan lawatan kerja tersebut antaranya mendapat maklumat secara langsung berkenaan kemajuan dan perancangan pembangunan di TT5 dan TT5 Maze Park yang telah dimajukan sebagai produk pelancongan.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim;Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan, YB Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YBrs. Puan Halizah binti Sipun ; Pegawai Daerah Kinta, YBrs. Tuan Meor Hezbullah bin Meor Abd Malik; Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, YBrs. Tuan Mohamad Razif Bin Ramli dan Ketua-Ketua Jabatan di negeri Perak.
Dalam kunjungan itu, Dato’ Seri Saarani telah diberikan taklimat ringkas oleh Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (Perak), Encik Anuar Zainal Abidin berkaitan pembangunan dan pemuliharaan kapal korek yang menjadi ikon perlombongan bijih timah di Geopark Kebangsaan Lembah Kinta selain perancangan pembangunan dalam tempoh 10 tahun lagi.
Dalam taklimat itu juga, turut dibentangkan produk pelancongan terbaharu TT5 Maze Park, taman pagar sesat yang terbesar dan berbentuk hati yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang kini mendapat perhatian pelancong di dalam mahupun luar negara.
Selepas sesi taklimat, YAB Dato’ Seri Saarani dibawa melawat ke Kapal Korek serta diberikan penerangan lanjut berkaitan kapal korek selain melawat ke TT5 Maze Park yang menggabungkan lapan elemen membentuk hati dengan menggunakan bahan-bahan yang sinonim dengan negeri Perak seperti batuan mineral serta barangan kitar semula dan atap rumbia hasil tangan Orang Asli.
Selain itu, TT5 Maze Park adalah sebahagian daripada usaha rehabilitasi bekas tapak kawasan lombong dengan menambah flora dan fauna di sekitarnya, selaras dengan saranan Kerajaan Negeri dalam agenda Perak Bumi Lestari.
Dalam pada itu, sebanyak 5,200 pokok telah ditanam dan antaranya ialah pokok nadir bumi dan spesis terancam seperti cengal dan meranti tembaga selain pokok Tualang bersempena lokasi Tanjung Tualang.
Selain itu, pihak MB Inc. Perak turut berasa berbesar hati dengan kunjungan YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad dan menyerahkan cenderahati ukiran kayu sebagai tanda berterima kasih atas kesudian YAB Menteri Besar ke TT5 dan TT5 Maze Park.