Menteri Besar Incorporated (Perak) menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Jerman ke Malaysia, TYT Dr. Peter Blomeyer di Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5 (TT5).
TYT Dr. Peter Blomeyer disambut oleh Pengurus Amanjaya TT5 Sdn. Bhd., Encik Shahrin Zainon dan Pengurus Besar Komunikasi Strategik MB Inc. Perak, Siti Kamesah Bee.
Dalam kunjungan tersebut, Duta Besar Jerman kagum dengan usaha yang telah dilakukan oleh pihak TT5, terutamanya dalam memulihara kapal korek yang terakhir di Malaysia ini.
Selain itu, beliau juga turut berkongsi pandangan dan pengetahuan berkaitan biji timah dan arang batu, di mana komoditi ini merupakan salah satu komoditi yang penting bagi negara Jerman.
Selain itu, TYT Dr. Peter Blomeyer turut melawat Maze Park dan memuji usaha penghijauan di sekitarnya dengan penanaman pokok dan usaha menggunakan barang kitar semula sebagai salah satu elemen Maze Park.
Kunjungan hormat tersebut adalah berteraskan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang melibatkan 5 teras strategik iaitu pertanian, sosio - ekonomi, alam sekitar, prasarana dan digital.
Pihak MB Inc. Perak ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kehadiran Duta Besar Jerman ke Malaysia dalam kunjungan hormat ini dan semoga jalinan erat, perkongsian pengetahuan, dan kepakaran kedua-dua belah pihak dapat memberi manfaat kepada semua.