Jalinan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc. Perak) bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Alam Sekitar menyumbang kepada kejayaan Program Kekal Hijau-Kempen Penanaman Pokok MB Inc. Perak yang bermula sejak November, tahun lalu.
Oleh itu, MB Inc. bersama dengan 6 wakil NGO Alam sekitar telah hadir ke Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 bagi tujuan lawatan kerja di samping melaksanakan aktiviti Penanaman Pokok, simbolik terhadap jalinan usahasama ini.
Kehadiran kesemua NGO Alam Sekitar disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. , Encik Anuar Zainal Abidin; Ketua Pegawai Operasi MB Inc., Encik Nor Afzanizam Abd Manan dan Pengurus Amanjaya Sdn.Bhd , Encik Shahrin Zainon serta Pengurus Besar Komunikasi Strategik Korporat, Siti Kamesah Bee dan Ketua, Sumber Manusia dan Pentadbiran, Encik Rizam Abd Rani
Turut hadir wakil Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA, Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia, Persatuan Pengusaha Kelip-kelip Kampung Dew, Persatuan Pendidikan Dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) dan Persatuan Mendidik Insan Cemerlang (INSAN).
Dalam majlis itu, wakil -wakil NGO bersama En. Anuar dan En. Nor Afzanizam turut menanam pokok bernilai tinggi , pokok yang dilindungi serta spesis terancam iaitu Meranti Tembaga, Karas dan Cengal.
Selain itu, turut ditanam pokok Tualang sebagai simbolik bersempena Tanjung Tualang selain pokok herba dan boleh dimakan seperti pokok Bacang, Kuinin dan Sentul.
Pokok-pokok yang ditanam ini bukan sahaja dapat meredupkan persekitaran di TT5 malah menjadi rujukan kajian dan pendidikan kepada pengunjung TT5.
Untuk makluman, lebih 30,000 pokok telah pun berjaya ditanam oleh NGO Alam Sekitar dalam Program Kekal Hijau- Kempen Penanaman Pokok ini.
Sementara itu, Encik Anuar Zainal Abidin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Sahabat NGO sebagai tanda menghargai usaha dan kerjasama erat yang diberikan oleh pelbagai NGO dalam menjayakan kempen penanaman pokok ini.