IPOH 26 Julai - Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) meneruskan lagi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dalam bidang Pendidikan dengan memberi sumbangan komputer riba kepada tambahan lima pelajar menerusi Kelab Rotary.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program CSR MB Inc. memfokuskan kepada sektor pendidikan dan dunia pembelajaran era baharu selaras dengan revolusi industri 4.0.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu merangkap Penasihat Khas kepada YAB Menteri Besar Perak , YB Dato’ Abd Manaf Hashim dalam satu majlis di Pejabat Pusat Khidmat DUN Pengkalan Baharu.
Turut hadir Penolong Gabenor Kelab Rotary Malaysia, Encik Kamarul Dato’ Mohamad Arif ; Pengetua SMK Changkat Beruas, Dr. Husaini Abdullah dan wakil MB Inc.
Sejak tahun lalu MB Inc. telah melaksanakan inisiatif mengumpul komputer riba bagi keperluan pelajar daripada keluarga B40 untuk mendapatkan akses digital lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid -19 yang memerlukan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.
MB Inc. dalam kenyataannya berkata, sumbangan ini juga membolehkan akses pembelajaran berkualiti untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga.
"MB Inc. mahu merapatkan jurang pembelajaran mereka yang kurang mampu untuk memiliki peranti digital.
"Kami berharap sumbangan ini akan membantu pelajar dari segi pembelajaran secara maya seterusnya mencatatkan keputusan cemerlang,’’ kata kenyataan itu.
Sehingga kini, MB Inc. telah menyumbangkan 100 komputer riba terpakai menerusi Kelab Rotary Ipoh untuk pembelajaran digital kepada golongan sasar, B40 di seluruh negeri ini.
CSR MB Inc. adalah berteraskan kepada tiga fokus utama iaitu Sosial, Pendidikan dan Alam Sekitar (S.E.E) yang dirangka selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk pembangunan Pendidikan, Ekonomi dan Sosial di negeri Perak.