Menyedari kepentingan bahan bacaan berkualiti menjadi pemangkin kepada kecemerlangan khususnya kepada generasi muda, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) meneruskan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyumbangkan 200 naskah buku kepada Pusat Digital Komuniti Lambor.
MB Inc. yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Anuar Zainal Abidin menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan , Komunikasi dan Multimedia merangkap ADUN Bota , YB Khairul Shahril bin Mohamed.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi MB Inc. , Encik Nor Afzanizam Abd Manan dan Penghulu Mukim Lambor, Encik Mohd Norfakhiruddin bin Ismail.
Lebih menarik lagi, warga kerja MB Inc. turut bersama-sama menyumbang bahan bacaan untuk kemudahan bacaan pelawat pusat digital komuniti itu.
Bahan bacaan yang disumbangkan antaranya ialah buku kanak-kanak, buku rujukan akademik, kamus, buku motivasi serta keagamaan, buku-buku bahasa Inggeris dan majalah ilmiah.
Pihak MB Inc. berharap agar usaha ini dapat memupuk minat membaca di kalangan komuniti setempat disamping memberi pengetahuan menerusi bacaan.
Selain itu, MB Inc. mahu pusat digital komuniti ini menjadi tempat serta rujukan komuniti setempat untuk mengakses Internet dan bahan-bahan bacaan.
Terdahulu, MB Inc. telah pun menyumbang beberapa buah komputer kepada Pusat Digital Komuniti Lambor yang bertujuan mahu komuniti setempat dapat mengakses Internet jalur lebar dengan lebih baik dan menikmati kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).