Team Ceknik Teruja Siapkan Selempang Jalur Gemilang

SKB

Pengarah Strategik Komunikasi Korporat Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Siti Kamesah Bee Mohd Hashim berkata kerja-kerja menjahit selempang Jalur Gemilang itu telah bermula pada minggu lalu yang melibatkan sekitar tujuh wanita masyarakat setempat.

“Pada awal kita ada beberapa idea namun selepas beberapa siri perbincangan, timbul idea kreatif untuk kita mencantumkan bendera-bendera Malaysia ini supaya dijadikan selempang.

“Team ‘Ceknik’, atau Team Menjahit dalam bahasa Orang Asli ini melibatkan lima ke tujuh orang dan kesemua mereka akan menghasilkan 100 selempang untuk dipakai kesemua ahli kontinjen masyarakat Orang Asli pada acara perbarisan nanti,” katanya.

Tambah Siti Kamesah, sejak daripada awal pengumuman untuk membuat selempang Jalur Gemilang, kesemua mereka sudah berasa teruja dan menunjukkan minat bagi menyiapkan selempang-selempang tersebut.

Dalam pada itu jelasnya kemahiran menjahit mereka ini diperoleh menerusi Program Kampung Angkat MB Inc yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada April lalu.

Katanya di bawah inisiatif memperkasakan wanita, selain daripada bengkel kemahiran bakeri dan dandanan, MB Inc juga telah mewujudkan kelas menjahit serta menempatkan seorang guru menjahit untuk wanita Kaum Semai di situ.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program lawatan dan tinjauan MB Inc terhadap persiapan selempang jalur gemilang oleh masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Cincin, di Chenderiang, dekat sini, hari ini.

Salah seorang peserta, Teh Bah Rahmat, 55 berkata dirinya tidak berasa kekok dalam menyiapkan kesemua selempang tersebut kerana sudah mempunyai ilmu dan latar belakang dalam bidang menjahit.

Mudah disapa sebagai Kak Teh, dia turut berasa berbangga dengan hasil kerjanya yang akan dipakai para kontinjen perbarisan masyarakat Orang Asli pada Sabtu ini.

“Yang menjahit ini semua rakan Kak Teh. Sebelum ini saya pernah menjahit baju tetapi tidak pakai mesin elektrik, hanya memakai mesin biasa. Saya berasa seronok apabila menjahit.

“Selain menjahit saya juga berkebolehan dalam menganyam tikar dan bakul,” ujarnya yang juga isteri kepada Tok Batin Kampung Sungai Cincin.

Perasaan bangga itu juga turut dikongsi rakannya, Noraimi Yusof, 31 yang dalam pada masa sama mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar dan MB Inc kerana memberi peluang untuk masyarakat di kampungnya dalam menyumbangkan sesuatu bersempena Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Sungai Cincin, Panjang Aris, 56, berkata inisiatif kelas jahitan tersebut adalah usaha yang baik khususnya buat kaum ibu di kampungnya.

“Dengan ada kelas ini, kaum wanita khususnya kaum ibu akan dapat mengisi masa lapang mereka dan menambahkan ilmu jahitan kepada diri mereka.

“Jika inisiatif seperti menjahit selempang Jalur Gemilang ini diteruskan, saya yakin semangat patriotik penduduk di sini akan dapat disemarakkan lagi,” katanya.