Program kampung angkat Orang Asli terima sambutan

https://www.sinarharian.com.my/article/23212/EDISI/Perak/Program-kampung-angkat-Orang-Asli-terima-sambutan

TAPAH - Langkah kerajaan Perak mewajibkan setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam negeri mengambil kampung angkat memberi impak positif apabila ada syarikat swasta menyuarakan minat yang sama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, lebih 10 GLC di bawah kerajaan negeri telah mengambil sekurang-kurangnya dua buah perkampungan orang asli setiap satu dalam negeri ini untuk dijadikan kampung angkat.

"Kerajaan negeri menggalakkan syarikat GLC Perak untuk mengenal pasti perkampungan Orang Asli dan menjadikannya sebagai kampung angkat seperti dilakukan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) memilih Kampung Orang Asli Sungai Cincin, di Chenderiang

"Alhamdulillah dalam program ini tanpa disangka-sangka ada pihak dari syarikat swasta hadir dan menyatakan minat mereka untuk mengambil kampung Orang Asli sebagai kampung angkat mereka," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Kampung Angkat Orang Asli, MB Inc, di Kampung Sungai Cincin, Chenderiang di sini hari ini.

Tambahnya lebih membanggakan syarikat swasta yang menyatakan hasrat untuk turut serta dalam program berkenaan bukan sahaja daripada syarikat tempatan malah juga syarikat antarabangsa yang beroperasi di negeri ini.

Menurut Ahmad Faizal program seumpama ini dapat memberi peluang serta membantu memajukan masyarakat Orang Asli di negeri ini dalam pelbagai aspek untuk terus berdaya saing.

"Anak-anak muda orang asli akan mudah mendapatkan akses dan peluang untuk memajukan kemahiran mereka selain menambah baik ekonomi masyarakat mereka," katanya.

Ahmad Faizal turut mengingatkan semua GLC negeri dan juga pihak swasta yang terlibat serta berminat dalam program kampung angkat ini memastikan usaha mereka dilakukan berterusan dan bukan hanya sekali sahaja.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/23212/EDISI/Perak/Program-kampung-angkat-Orang-Asli-terima-sambutan