Program Kampung Angkat GLC Perak bantu majukan penempatan Orang Asli

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/552310/program-kampung-angkat-glc-perak-bantu-majukan-penempatan-orang-asli

KUALA LUMPUR: Sedih melihat kehidupan masyarakat dan perkampungan Orang Asli terpinggir, malah ada antara penempatan langsung tidak berubah sejak berpuluh tahun lalu, kerajaan Perak melaksanakan program kampung angkat bagi mengubah senario itu.

Usaha dibuat dengan mengarahkan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadikan perkampungan Orang Asli tertentu sebagai ‘anak angkat’ dan membantu masyarakat itu supaya dapat berkongsi ‘kek’ pembangunan negeri dan negara.

Perak mempunyai 256 perkampungan Orang Asli yang berdaftar dan bilangannya lebih jika mengambil kira perkampungan kecil tidak berdaftar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata program itu tercetus selepas mendapati, ada perkampungan Orang Asli dilawatinya, termasuk ketika berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, masih statik tanpa sebarang perubahan.

“Ketika kanak-kanak, arwah bapa saya bawa melancong ke Cameron Highlands menggunakan jalan dari pekan Tapah. Saya masih ingat ada satu perkampungan (Orang Asli) di tepi jalan ke Cameron Highlands dan kampung itu masih ada hari ni.

“Apabila berhenti di kampung itu, saya terkenang zaman kanak-kanak dan saya dapati keadaan rumah di situ masih sama dengan keadaan 40 tahun dulu. Jadi saya fikir kenapa tak ada langsung pembangunan atau perubahan bagi rumah di situ.

“Saya bersembang dengan mereka di sana dan cuba memahami keadaan, maka saya dapat satu kesimpulan atau belajar bahawa mereka sebenarnya mahu kemewahan dan kesenangan,” katanya dalam satu temubual di sini.

Ahmad Faizal berkata, sebagai Menteri Besar, beliau mahu melakukan sesuatu bagi membantu mereka walaupun menyedari usaha itu bukan mudah, termasuk sifat penempatan masyarakat itu yang jauh, malah ada bersaiz kecil.

“Oleh itu, saya hidupkan inisiatif untuk syarikat GLC termasuk perbadanan di Perak untuk pilih sendiri kampung Orang Asli untuk dijadikan kampung angkat.

“Apa yang mereka lakukan adalah setiap minggu perlu membuat jadual bagi pegawai mereka untuk masuk ke kampung ini untuk menjalankan aktiviti, sekurang-kurangnya aktiviti membaca bersama anak Orang Asli di sana.

“Apabila ada ibu dan bapa angkat daripada kalangan mereka yang dah maju dan berpendidikan tinggi, maka mereka juga ada cita-cita untuk mempunyai pendidikan tinggi seperti bapa angkat mereka dan nak keluar daripada jurang kemiskinan yang ada pada kebanyakan perkampungan Orang Asli ini. Itu hajat saya. Jika semua bersatu-padu, buat bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membantu, insya-Allah kita akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata, menyedari setiap perkampungan Orang Asli mempunyai isu dan masalah berbeza, pendekatan bersifat mikro paling sesuai diterapkan bagi mencapai matlamat itu.

Katanya, sebagai contoh, masalah dan isu dihadapi di penempatan Orang Asli di kawasan tanah tinggi seperti berdekatan Cameron Highlands adalah berbeza dengan kawasan penempatan masyarakat itu di kawasan bawah berdekatan pekan Tapah.

Begitu juga antara penempatan yang wujud antara daerah, memerlukan pendekatan berbeza untuk menyelesaikannya membabitkan 256 perkampungan Orang Asli di negeri itu.

Sementara itu, Ahmad Faizal menjelaskan kritikan terhadapnya berhubung kenyataan dibuat sebelum ini yang dikatakan menghina Orang Asli, adalah tidak tepat kerana ia dibuat dalam konteks yang salah berdasarkan laporan disiarkan.

“Saya sayangkan Orang Asli dan kerana kasih dan sayang saya pada mereka, saya mesti bercakap secara terus terang. Dalam satu majlis di satu perkampungan Orang Asli dalam kawasan saya wakili, ada Tok Batin dalam ucapannya meminta kerajaan negeri membantu membina beberapa rumah bagi mereka jadikan homestay untuk dijadikan tempat pelancongan.

“Saya mencadangkan atau meminta mereka, memulakannya terlebih dahulu. Apa gunanya jika saya memberikan batang kail tapi mereka tak nak memancing. Apa guna saya bina mereka homestay atau resort yang cantik tetapi mereka tak mahu kendalikannya. “Jadi saya katakan dalam ucapan saya, sebelum kerajaan memberi apa-apa, saya syorkan pada mereka mulakan terlebih dahulu, tunjukkan kesungguhan dan bukan sahaja saya malah kerajaan wajib membantu mereka. Ini yang saya katakan tetapi dilaporkan dalam cara berbeza yang membuatkan ia bunyi seperti saya hendakkan Orang Asli ini menghentikan budaya meminta-minta.

“Budaya meminta-minta ini adalah budaya tak baik. Dalam Islam juga tak disyorkan untuk meminta-minta tetapi digalakkan untuk berusaha, jadi terpulang kepada orang ramai. Tetapi jika nak kata saya diskriminasi kaum Orang Asli, saya ingat jauh sekali, malah sebenarnya secara peribadi usaha untuk memartabatkan masyarakat Orang Asli adalah perhatian utama bagi diri saya,” katanya.

Menyentuh isu masyarakat itu dengan isu hutan, Ahmad Faizal mengakui, ada pihak tertentu menyemarakkan rasa marah masyarakat Orang Asli terhadap kerajaan, malah ada tindakan itu merugikan masyarakat terbabit.

“Mereka (seperti) nak Orang Asli pakai cawat, Orang Asli macam kosmetik atau penghias dalam hutan, berani sungguh mereka. “Saya pula lihat mereka (Orang Asli) sebagai manusia, saya nak mereka berjaya, menikmati kehidupan lebih baik. Orang KL (Kuala Lumpur) kata, tak ada Orang Asli tak syok masuk hutan. Ini tak betul, saya rasa dalam isu Orang Asli ini sebenarnya kita sendiri yang ‘jahat’ (tidak berlaku adil),” katanya.

Mengulas lanjut isu pembalakan yang dikaitkan turut memberi kesan kepada Orang Asli, Ahmad Faizal berkata, beliau sebenarnya berbangga dengan pencapaian Jabatan Perhutanan Perak kerana melaksanakan pembalakan mampan serta pengurusan hutan negeri itu antara terbaik di negara ini.

Malah, katanya, ramai tidak menyedari bahawa 48 peratus daripada muka bumi Perak masih dilitupi hutan dan seperti diminta Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mahu menambah dua peratus lagi kawasan hutan bagi mencapai angka 50 peratus.

“Ada pihak yang datang berdasarkan satu dua laporan, tunjukkan gambar kata sesuatu kawasan itu dah botak (hutan habis ditebang) dan kata dah habis dah satu negeri, (sebenarnya) tak.

“Apa yang berlaku itu hanya di situ dan kita ambil tindakan di situ, di tempat lain masih terjaga rapi, jadi saya fikir, rakyat terhidang dengan laporan yang disensasikan sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak kritikal, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif memperketatkan penguatkuasaan termasuk menambah bilangan Renjer Hutan daripada sembilan kepada 32 orang dan akan ditambah lagi bilangan mereka, bagi mengawal Hutan Royal Belum yang saiznya empat kali ganda berbanding keluasan Singapura daripada kegiatan pembalakan dan pemburu haram.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/552310/program-kampung-angkat-glc-perak-bantu-majukan-penempatan-orang-asli