Perak sasar tambah kedatangan pelancong antarabangsa

thumbnail

KAMPAR: Kerajaan negeri menyasarkan pertambahan jumlah pelancong antarabangsa ke negeri ini menerusi beberapa tarikan pelancongan baharu yang akan diperkenal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara produk pelancongan berkenaan ialah kapal korek warisan negara iaitu Tanjung Tualang Nombor 5 atau TT5 dan Taman Pagar Sesat TT5 dekat sini.

Menurut beliau, usaha Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) bersama pihak swasta menambah nilai kawasan TT5  amat baik dengan menampilkan beberapa tarikan baharu di kawasan tersebut.

“Dahulu TT5 hanya ada kapal korek sahaja tetapi kita lihat sekarang ia telah dibangunkan dengan baik dan ada penglibatan pihak swasta untuk menambah nilai kepada pusat pelancongan ini. 

“Saya difahamkan dua minggu lepas Duta Jerman telah sampai di sini dan beliau juga telah membantu mempromosi produk ini kepada Duta Eropah lain yang akan datang berkunjung ke tempat ini pada Mac nanti,” katanya selepas melawat kapal korek TT5 dan Taman Pagar Sesat TT5 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE