MB Inc. Tubuh Rumah Ngaji MB Inc. @TT5

thumbnail

BATU GAJAH- Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) hari ini telah menubuhkan Rumah Ngaji di tapak warisan kapal korek No. 5 (TT5) yang terletak di Tanjung Tualang.

Perkara ini sekaligus menjadikan MB Inc. iaitu sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Perak pertama telah menyahut seruan untuk melahirkan masyarakat yang dekat dengan Al-Quran.

Pengurusan Besar Kanan MB Inc., Nor Afzanizam Abd Manan berkata, tujuan penubuhan Rumah Ngaji di TT5 adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti tempatan dalam usaha pemantapan kekuatan rohani selain mewujudkan masyarakat baca, faham dan amal Al-Quran.

“Selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan perkhidmatan berfokuskan rakyat, MB Inc bukan sahaja amat menitik-beratkan kepada pembangunan ekonomi negeri Perak, tetapi juga amat komited kepada aspek pembangunan nilai-nilai murni di kalangan masyarakat setempat.

“Penubuhan Rumah Ngaji MB Inc. @ TT5 ini adalah inisiatif bertepatan dengan hasrat MB Inc untuk membantu komuniti setempat dalam membudayakan ilmu dan aspek kerohanian dengan memahami dan mengamalkan ajaran murni Islam yang terdapat dalam al-Quran,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Rumah Ngaji MB. Inc @TT5 di Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Khas Hal Ehwal Islam Perak, Mohammad Azri Naim Mohd Kamal telah merasmikan majlis berkenaan bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

afza

Kata Afzanizam, pemilihan Tapak Warisan Kapal Korek TT5 sebagai lokasi Rumah Ngaji MB Inc adalah sebagai penghargaan pihak syarikat kepada masyarakat setempat terutamanya penduduk setempat yang telah banyak membantu dan menyokong pembangunan dan pengurusan di kawasan berkenaan.

“Bagi menyahut seruan untuk memperkasakan interaksi komuniti dengan al-Quran, pihak MB Inc telah memilih untuk membuka Rumah Ngaji di kawasan Tanjung Tualang ini,” katanya.

Menurut beliau, kelas mengaji dan program-program ilmu di RumahNgaji MB Inc. @ TT5 ditanggung dan dibiayai oleh MB Inc.

“Kelas-kelas akan diberikan secara percuma kepada komuniti disekitar Tanjung Tualang di mana kumpulan sasar adalah terbuka kepada mereka yang berumur dari 6 hingga 90 tahun yang ingin membaca, memahami asas al-Quran.

“Tenaga pengajar pula terdiri tenaga pengajar yang bertauliah yang dipilih dari penduduk tempatan yang telah mendapat pensijilan mengikut modul yang telah ditetapkan oleh pihak Rumah Ngaji,” katanya.

Sumber:https://peraktoday.com.my/2020/09/mb-inc-tubuh-rumah-ngaji-mb-inc-tt5/