MB Inc Sumbang 70 Kotak Makanan Kepada Masyarakat Orang Asli Pos Kemar

thumbnail

1

GERIK – Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) menyumbangkan 70 kotak makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Ralak Pos Kemar, dekat sini, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, sumbangan itu disampaikan kepada Tok Batin Kampung Ralak, Abu Bakar Aluej untuk diagihkan kepada 350 penduduk setempat.

2

Antara barangan yang disumbangkan ialah barangan keperluan asas seperti, beras, tepung, gula, minyak masak, susu tin, teh, kopi, biskut dan sabun pencuci pakaian.

Kata kenyataan itu lagi, seramai 10 kakitangan yang terlibat dalam konvoi misi penyerahan bantuan itu yang turut disertai Persatuan Kebajikan Saudara Perak.

“Konvoi itu menempuh laluan sukar sepanjang 60 kilometer dan mengambil masa perjalanan selama 5 jam. Ia kerana keadaan cuaca hujan lebat selain permukaan jalan yang licin.

3

“Disebabkan cuaca tidak menentu, konvoi misi bantuan terpaksa bermalam di surau berdekatan atas faktor keselamatan,” katanya.

Tambahnya lagi penyerahan bantuan itu sebagai menyahut seruan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli di Perak.

“Sebelum ini MB Inc telah menjadikan dua buah kampung Orang Asli iaitu, Kampung Sungai Cincin di Chenderiang dan Kampung Bukit Cermin di Kuala Kangsar sebagai kampung angkat.

“Program kampung angkat merupakan inisiatif yang berterusan bagi memastikan komuniti Orang Asli mendapat faedah secara holistik dari aspek pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial,” katanya lagi.