Anjur Ihya Ramadan, Prihatin Nasib 100 Asnaf Pengkalan Hulu

Afza

PENGKALAN HULU: Jika sebelum ini dijalankan di Ipoh, Trong dan daerah Chenderiang, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) kali ini menganjurkan Ihya Ramadan di daerah Pengkalan Hulu, pada Jumaat.

Pada satu majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Kuak Luar, dekat sini, seramai 100 orang asnaf telah menerima sumbangan wang zakat daripada syarikat berkaitan kerajaan tersebut.

Menurut satu kenyataan, majlis itu turut mendapat kerjasama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu.

Majlis dihadiri Penyelaras DUN Pengkalan Hulu Dr Ahmad Safwan Mohamad serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kuak Luar, Mohd Azhar Ariffin.

Selain zakat, MB Inc turut menyumbangkan enam naskah Al-Quran dan 50 naskah surah Yassin kepada Pengerusi Masjid, Kasim Kassim.

Pengurusan Besar Kanan MB Inc, Nor Afzanizam Abd Manan dalam ucapan perasmiannya berkata inisiatif yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada langkah syarikat berkongsi kentungan dengan golongan yang memerlukan.

Katanya menerusi projek perlombongan yang dijalankan di daerah berkenaan, sebahagian daripada keuntungan diperoleh yang dikongsi diharap dapat membantu meringankan beban golongan asnaf khususnya dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Terdahulu MB Inc ada mengunjungi ke beberapa asnaf yang uzur di rumah mereka di kawasan lain untuk menyampaikan bantuan.

 

https://peraktoday.com.my/2019/06/anjur-ihya-ramadan-prihatin-nasib-100-asnaf-pengkalan-hulu/amp/