Acara kuda lasak di kapal korek TT5

thumbnail

BATU GAJAH: Buat pertama kalinya, acara sukan kuda lasak yang dianjurkan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dan Kelab Iskandar Polo Ipoh dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) diadakan di Kapal Korek Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5) hari ini.
 

Seramai 12 peserta yang terdiri daripada ahli Kelab Iskandar Polo menyertai aktiviti sukan kuda lasak itu dengan menunggang kuda di laluan sekitar kawasan TT5 yang sejauh 26 kilometer.

Aktiviti itu dijalankan secara santai bagi mengeratkan hubungan sesama ahli kelab manakala pemilihan tempat TT5 memberikan satu suasana baru dan unik.
 

TT5 telah diserahkan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada MB Inc. pada tahun 2015 untuk dijadikan Tapak Warisan Negeri.

Oleh itu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menjadikan TT5 sebagai destinasi warisan dan pelancongan yang berdaya saing.

Menurut kenyataan MB Inc pelbagai aktiviti menarik telah dirangka untuk para pengunjung yang hadir supaya mereka merasai sendiri pengalaman.

Ia secara tidak langsung memahami sejarah kapal korek yang merupakan simbol kekayaan serta kemajuan industri perlombongan bijih timah yang membawa hasil ekonomi yang lumayan ke Negeri Perak beberapa dekad yang lalu.

 
“Selain aktiviti sukan kuda lasak yang dijalankan pada hari ini, para pengungjung juga boleh menikmati pengalaman meneroka ke dalam satu-satunya kapal korek yang masih wujud.

“Malahan juga, mereka boleh beriadah sambil memancing dan merasai sendiri cara-cara mendulang bijih timah.

“Ini menjadikan TT5 sebagai salah satu tapak warisan pelancongan yang harus dilawati,” katanya.

 
Sementara itu, menurut Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun aktiviti sukan lasak itu biasanya diadakan di Bandaraya Ipoh, tetapi kali ini mereka memilih TT5 kerana keunikan pemandangan kapal korek disamping keindahan semula jadi di sekitar kawasan itu.

“Malahan, ianya secara tidak langsung dapat mempromosikan pekan Batu Gajah dan TT5 sendiri sebagai tapak warisan pelancongan negeri yang perlu dikunjungi,” ujarnya.
 

Aktiviti itu dijalankan dengan mengambil berat aspek-aspek prosedur operasi standard (SOP) bagi menghentikan rantaian penularan covid 19.

Beberapa pegawai telah dilantik bagi memastikan penganjur dan para peserta mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
 

Bagi meningkatkan industri pelancongan domestik terutamanya di Negeri Perak, TT5 merupakan destinasi yang terbaik untuk dilawati seisi keluarga.

Malahan, MB Inc. sedang giat membina dan menaik taraf beberapa tarikan baru di TT5.

Antara tarikan baru yang bakal dibuka kepada orang ramai adalah Maze Garden yang menonjolkan beberapa elemen menarik menerusi landskapnya yang diperbuat daripada beberapa jenis mineral seperti batu granit, batu kapur dan lain-lain.

Disamping itu, barang-barang kitar semula turut dijadikan bahan landskap bagi menerapkan nilai-nilai budaya kelestarian alam sekitar.
 
MB Inc. menasihati para pengunjung untuk sentiasa mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka dan prihatin terhadap penjarakan sosial yang telah ditetapkan.